KUALA LUMPUR 28 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sukan merupakan bidang penting yang mampu membantu mencapai matlamat serta wawasan negara selain menjadi ejen efektif dalam menyatupadukan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, selain itu sukan juga berupaya menaikkan imej negara menerusi pencapaian cemerlang atlet-atlet khususnya semasa menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa di samping membentuk masyarakat yang berdaya maju.
Menurutnya, atlet bertaraf dunia seperti ratu skuasy, Datuk Nicol David; jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei; pelumba basikal, Azizul Hasni Awang; pemain boling, Shalin Zulkifli serta pasangan beregu Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong telah banyak mengharumkan nama negara.
Menyedari kepentingan tersebut, beliau menjelaskan, kerajaan akan sentiasa komited untuk memastikan kemajuan sukan di negara ini diberi keutamaan melalui pelbagai kemudahan dan khidmat sokongan khususnya kepada para atlet terutama dari aspek latihan.
"Sebab itu saya menyokong pembinaan budaya sukan melalui Gagasan Negara Sukan yang kini diusahakan Kementerian Belia dan Sukan. Ini bukan sahaja memayungi kesemua peranan dan kepentingan sukan tetapi turut menjana ekonomi dan pendapatan nasional.
"Kerajaan juga akan terus meluaskan inisiatif serta landasan penyertaan untuk mengenal pasti lebih ramai atlet muda berbakat dan berpotensi," katanya semasa berucap merasmikan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-16 di Kompleks Sukan Mini, Bukit Jalil di sini malam ini.
Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; timbalannya, Datuk M. Saravanan; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tunku Ja'afar dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Dr. Zolkeples Embong.
Sukma Ke-16 menampilkan seramai 5,000 atlet dan pegawai dari 14 kontinjen.
Menyentuh mengenai temasya sukan terbesar Malaysia kali ini, Muhyiddin berharap acara itu dapat mencapai matlamat menyediakan satu tahap pertandingan bermutu tinggi dalam usaha memberi pendedahan secukupnya kepada atlet pelapis negara.
"Saya juga berharap lebih banyak rekod kebangsaan, rekod Sukma ataupun catatan peribadi terbaik dapat dicipta. Selamat berjuang kepada setiap atlet yang bertanding dan berikan persembahan terbaik berbekalkan semangat juang dan kesukanan tulen," katanya.
berita terkini...#rajes#
BalasPadam